Safiyyah r.a adalah ibu saudara kepada Rasulullah s.a.w. dan saudara perempuan kandung kepada Hamzah r.a. Beliau turut menyertai di dalam peperangan Uhud.Apabila satria-satria Islam telah di tewaskan di mana sebahagian daripada mereka berundur melarikan diri dari medan pertempuran itu beliau telah memukul mereka dengan lembingnya dan merangsang mereka agar kembali ke medan pertempuran itu.
Di dalam peperangan Khandak,Rasulullah s.a.w. telah mengumpulkan kesemua dari para wanita Islam di dalam sebuah kota yang berkubu dan baginda telah melantik Hassan bin Thabit r.a. untuk mengawasi mereka.Orang-orang Yahudi yang senantiasa membuat peninjauan untuk mencari peluang-peluang yang sedemikian agar dapat melakukan kerosakan telah mengepung tempat itu dan telah menghantar seorang dari mereka untuk mengintip,sekiranya di sana ada kaum lelaki bersama -sama kaum wanita.Secara kebetulan Safiyyah r.a. terpandang akan orang Yahudi itu mendekati kubu itu,lantas beliau berkata kepada Hassan:
"Nun di sana ada seorang Yahudi yang datang untuk mengintip gerak-geri kita.Pergilah dikau membunuhnya."
Hassan r.a. adalah seorang yang lemah.Beliau tidak berani melakukan kerja seumpama itu.Safiyyah r.a. lantas mengambil sebatang penyemat dari khemah itu dan terus keluar dari kota perkubuan itu dengan membuat satu pukulan yang menghinggapi ke atas kepala orang Yahudi tersebut dan telah membunuhnya di situ juga.Sekembalinya ke kota berkubu itu beliau berkata kepada Hassan:
"Orang itu telah pun mati.Tetapi daku tidak memindahkan pakaian serta senjata dari badannya demi sebab-sebab kesopanan.Sekarang pergilah dikau memindahkan segala yang terdapat pada tubuh badannya dan bawalah kepalanya selepas diceraikan dari tubuhnya."
Hassan r.a. adalah terlalu lemah semangatnya untuk melakukan perbuatan itu.Sekali lagi beliau sendiri telah keluar dan sekembalinya beliau dari membawa kepala Yahudi tersebut,beliau pun melemparkannya melepasi dinding itu ke arah orang-orang Yahudi itu.Apabila mereka melihat kejadian yang ngeri ini mereka pun berkata:
"Kami sedang memikirkan bagaimanakah Muhammad dapat menyimpan wanita-wanita dengan bersendirian di kubu itu.Pasti di sini terdapat kaum lelaki yang mengawasi para wanita itu."
Safiyyah r.a. telah kembali ke rahmatullah pada tahun 20 s.h. ketika beliau berusia 73 tahun.Peperangan Khandak telah berlaku pada tahun 5 s.h. Oleh itu usia beliau ketika itu 58 tahun.
Pada masa akhir-akhir ini seorang wanita yang berusia seumpama ini amatlah sukar didapati boleh melakukan kerja di dalam urusan-urusan rumah tangga.Tetapi lihatlah bagaimana Safiyyah r.a. membunuh seorang Yahudi dengan bersendirian sahaja....
0 ulasan:
Catat Ulasan